2008-08-13

KAJI SEMULA HARGA KONTRAK

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan menyemak semula harga kontrak projek pembangunan yang sudah dimeterai dengan kontraktor pembinaan bagi membantu mereka menampung kesan kenaikan ketara kos bahan binaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata,kerajaan memutuskan bahawa kontrak tertentu yang telah dimeterai dengan syarikat pembinaan akan diberi variasi harga berdasarkan kepada kenaikan luar biasa harga bahan pembinaan terutama keluli serta simen.
"Kementerian Kewangan akan mengeluarkan pekeliling dan arahan lengkap tidak lama lagi berhubung kontrak yang terbabit dengan variasi harga itu,"katanya selepas merasmikan Pameran dan Konvensyen Hartanah Bumiputera 2008, di sini, semalam.

Pameran dan Konvensyen dua hari berakhir hari ini, dianjurkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), diadakan bagi membuka peluang kepada syarikat dan usahawan Bumiputera membabitkan diri secara aktif dalam bidang hartanah dan pembinaan.

Hadir sama Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Pengarah Eksekutif Gabem yang juga pengarah pameran dan konvensyen, Datuk Mohamed Dahan Abdul Latiff.

Najib mengulas mengenai masalah syarikat pembinaan yang sedang menanggung kerugian kerana kos meningkat tinggi daripada harga asal kontrak yang dimeterai sebelum ini.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata, variasi harga itu bukanlah jaminan bantuan kerajaan kepada kontraktor supaya projek tidak terbengkalai, kerana adalah tidak wajar kerajaan memberi jaminan kepada syarikat pembinaan untuk menyiapkan projek mereka.

"Kita faham masalah mereka dan ini adalah antara bantuan kita dengan mengkaji semula kos kontrak. Sepatutnya bila sudah dimeterai kontrak kita tak boleh kaji semula, tapi oleh kerana keadaan luar biasa ini kita kaji semula,"katanya.

Memberi contoh, Najib berkata, Felda tidak menanggung kenaikan kos pembinaan bangunan Menara Felda walaupun ketika perjanjian pembelian bangunan 50 tingkat di persimpangan Jalan Stonor dan Lorong Kuda itu dimeterai, kos pembinaan ialah RM640.77 juta dan kini ia dikatakan meningkat 30 peratus.

Baru-baru ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed,dilaporkan berkata kerajaan menambah 11 perkara baru bagi Pengiraan Perubahan Harga (VOP) dalam kontrak kerja bagi meringankan beban kontraktor berikutan kenaikan kos bahan binaan.

Sebelas perkara itu ialah besi bulat, bitumen, bahan api, konkrit, pasir, batu baur, besi penghadang, jaring pengukuh, diesel, paip air dan paip pembentung. Dalam pengiraan VOP sebelum itu, 15 perkara yang diambil kira termasuk besi keluli dan simen.

Kerajaan juga menghapuskan harga siling besi sejak 12 Mei lalu bagi memastikan projek pembinaan dapat dilaksanakan tanpa gangguan.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, orang Melayu perlu mengubah anjakan minda dan berfikir secara strategik dengan melabur dalam bidang hartanah produktif yang dapat menjana kekayaan dan tidak lagi hanya mementingkan keluasan aset.

"Kalau kita dapat berfikir secara strategik, kekayaan orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang hartanah boleh dilonjakkan.Tanah yang luas berpuluh ekar di luar bandar yang ditanam kelapa umpamanya,belum tentu dapat memberi pulangan yang sama seperti memiliki seunit kondominium mewah di tengah pusat bandar Kuala Lumpur,"katanya.

Najib berkata, pemilikan premis dan tanah orang Melayu dan Bumiputera masih jauh lebih kecil iaitu 15 peratus.

"Itu kita lihat daripada segi peratusannya. kalau kita lihat daripada segi nilainya, mungkin jauh lebih rendah,"katanya.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri berkata, Gabem perlu memainkan peranan menyemarakkan pemilikan hartanah Bumiputera dengan merumus pelan tindakan strategik dan menyampaikannya kepada kerajaan untuk dilaksanakan.

"Kita tidak perlu agensi baru lagi, sebaliknya Gabem boleh membantu memberi nafas baru dan membaiki kelemahan yang mungkin ada pada agensi sedia ada untuk kekal komited dengan mandat penubuhan meraka,"katanya.

Tiada ulasan:


ARKIB BLOG GABEM