2008-08-13

USAH KOMPROMI ISU HAK MILIK HARTANAH MELAYU

KUALA LUMPUR : Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) akan mendesak semua kerajaa negeri termasuk kerajaan pembangkang supaya tidak berkompromi terhadap isu pemilikan hartanah Bumiputera dan bertindak tegas untuk mencapai matlamat 30 peratus kuota pemilikan Bumiputera.

Sehubungan itu, pengerusinya, Tan Sri Rahim Ramby Chik, berkata Gabem akan membentuk satu pelan tindakan ekonomi Bumiputera berdasarkan lima resolusi yang dicapai melalui Pameran dan Konvensyen Hartanah Bumiputera 2008 bagi memberi ingatan dan menggesa semua pemimpin Melayu tanpa mengira fahaman politik supaya mempertahankan dan melaksana agenda itu dengan serius.

Abdul Rahim berkata, orang Melayu adalah kaum majoriti di negara ini tetapi keupayaan dan penguasaan yang dimilikinya dalam sektor ekonomi adalah sangat kecil dan bersifat minoriti.
"Ia perlu dipertingkatkan kerana amat malang kepada orang Melayu yang dikira majoriti dari segi jumlahnya tetapi minoriti dari segi keupayaan ekonomi sehinga kita ketinggalan di negara kita sendiri.

"Namun, dalam keadaan politik semasa dengan lima negeri dikuasai parti pembangkang pada masa kini, akan menambah cabaran kepada Gabem kerana apa yang akan disuarakan Gabem mungkin tidak mendapat sokongan.

"Ia disebabkan masing-masing mempunyai gaya pemerintahan dan pendekatan sendiri walaupun matlamat yang dicapai adalah sama dengan apa yang diinginkan Gabem,"katanya ketika berucap pada majlis penutup Pameran dan Konvensyen Hartanah Bumiputera 2008, di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), Datuk Musa Muhamed dengan menerima resolusi berkaitan agenda ekonomi Melayu daripada Abdul Rahim sebagai tanda kerjasama akrab antara Gabem dengan kementerian itu.

Lima resolusi yang diserahkan menyentuh peranan agensi kerajaan, sektor swasta dan Bumiputera, industri pembinaan, isu Kampung Baru, tanah wakaf dan rizab Melayu serta pusat maklumat bersepadu hartanah. Antara perkara yang dibincangkan dalam lima resolusi itu adalah peningkatan pemilikan hartanah Bumiputera terutama di bandar, pengurusan harga binaan yang baik dengan mempermudahkan penjualan dan pembelian hartanah kepada Bumiputera, mengawasi ketirisan projek, memberi keutamaan kepada syarikat 100 peratus Bumiputera dan menyediakan pelan pembangunan Kampung Baru.

Tiada ulasan:


ARKIB BLOG GABEM