2008-08-18

USAHAWAN BUMIPUTERA PERLU BIJAK RANCANG STRATEGI

PUTRAJAYA : Usahawan bumiputera negara ini perlu bijak merancang strategi masing-masing bagi memastikan perniagaan mereka dapat diperluaskan dan dipertingkatkan setiap masa.Presiden Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, usahawan bumiputera yang sebahagian besarnya terdiri daripada kaum Melayu juga harus mengetahui cara terbaik untuk mengkomersialkan produk di samping memperkasakan pengetahuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.3 bilion dalam usaha mempertingkatkan keupayaan usahawan bumiputera untuk memperoleh dan menggunakan pengetahuan serta menggalakkan inovasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Komersialisasi Hasil Penyelidikan Bumiputera anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini baru-baru ini.
Abdul Rahim berkata, usahawan bumiputera perlu melibatkan diri dalam aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk menghasilkan penemuan terbaru yang dapat merubah bentuk perniagaan mereka.
Katanya, usahawan terbabit perlu memanfaatkan segala insentif yang disediakan kerajaan termasuk insentif fiskal baru yang memberikan taraf perintis bagi tempoh 10 tahun dan penawaran pengurangan cukai yang setara dengan pelaburan sebenar.

"Penekanan akan diberikan dalam teknologi utama khususnya bioteknologi, ICT, pembuatan, aeroangkasa dan nanoteknologi. Sebanyak 400 syarikat telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini," jelasnya.

Tiada ulasan:


ARKIB BLOG GABEM