2008-05-22

SYARIKAT TIDAK SERIUS TINGKAT EKONOMI MELAYU

KUALA LUMPUR : Gagasan Badan ekonomi Melayu (Gabem) mencadangkan kerajaan supaya membenarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil ahli politik mengisi jawatan pengurusan kanan GLC bagi membolehkan mereka melaksanakan agenda Melayu termasuk meningkatkan taraf hidup serta keupayaan ekonomi Bumiputera.

Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik, berkata langkah itu perlu kerana ahli politik lebih memahami keseluruhan agenda Bumiputera berikutan kebimbangan peringkat akar umbi dalam Umno terhadap penguasaan Bumiputera dalam ekonomi yang masih rendah berbanding kaum lain.

"Gabem tidak mahu hanya mereka(pengurusan GLC) yang mempunyai ilmu koporat serta pencapaian cemerlang boleh mengetuai GLC. Kita juga mahu GLC mempunyai pengurusan yang memahami serta sensitif sepenuhnya terhadap inti pati agenda Melayu. Ini penting kerana hanya mereka yang mempunyai kefahaman tinggi terhadap agenda Melayu dapat menjalankan tugas dengan cemerlang di samping tidak akan meminggirkan orang Melayu terutama dalam penguasaan ekonomi yang masih rendah.

"Gabem berpendapat agensi kerajaan termasuk GLC tidak kelihatan serius membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu terutama golongan berpendapatan rendah selain mempertahankan Dasar Ekonomi Baru(DEB),"katanya selepas menghadiri Muzakarah Majlis Gabem Negeri & Badan Ekonomi Melayu, semalam.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Gabem, Datuk Mohamed Dahan Abdul Latiff.

Majlis muzakarah itu turut dihadiri kira-kira 400 peserta termasuk anggota Majlis Gabem Negeri serta badan ekonomi Melayu.Sehubungan itu, Rahim meminta kerajaan memberikan Gabem kuasa bertindak supaya badan itu dapat memperkasa ekonomi Melayu.

"Kami berharap kerajaan dapat mengiktiraf peranan berat yang dimainkan Gabem dalam perjuangan memperkasakan ekonomi orang Melayu. Ini penting supaya Gabem dapat mengawasi pelaksanaan semua projek yang dijalankan usahawan Melayu serta memantau prestasi jabatan serta agensi kerajaan dalam memperkasa ekonomi orang Melayu.

"Gabem sekarang seperti harimau yang tidak mempunyai gigi dan kuku dan tidak membolehkan kami menyumbang secara berkesan terhadap peningkatan ekonomi orang Melayu. Bagaimanapun, kuasa bertindak itu terpulang kepada kerajaan untuk menetapkan bentuk yang paling sesuai kepada kami,"katanya.

Beliau berkata,kerajaan juga perlu memikirkan dengan serius cara untuk membangunkan tanah yang dimiliki orang Melayu termasuk rizab serta warisan bagi membantu golongan Bumiputera.

"Perkara ini perlu ditangani secara lebih efektif bagi menjamin hak milik orang Melayu serta Bumiputera dapat dipertahankan selain memberikan mereka manfaat jika ia dibangunkan,"katanya.

Tiada ulasan:


ARKIB BLOG GABEM