2008-05-22

WAWANCARA BERSAMA PENGERUSI GABEM, TAN SRI RAHIM TAMBY CHIK

Boleh Tan Sri jelaskan mengenai Muzakarah Majlis Gabem Negeri dan Badan Ekonomi Melayu : Strategi Meningkatkan Kemajuan Ekonomi Melayu Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC), Kuala Lumpur jam 2 petang ini?

Muzakarah tertutup anjuran Gabem ini, kita adakan dengan matlamat mendapatkan pandangan dan cadangan mengenai strategi meningkatkan ekonomi bangsa Melayu selepas pilihan raya umum lalu. Pandangan itu termasuk bagaimana mengaktifkan Majlis Gabem Negeri yang dilancarkan termasuk bagaimana mengaktifkan Majlis Gabem Negeri yang dilancarkan penubuhannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengikut keadaan politik semasa negeri berkenaan terutama negeri dikuasai pembangkang. Muzakarah ini juga bertujuan memperkasa badan ekonomi Melayu yang ada di negeri, meningkatkan keberkesanan kepimpinan badan ekonomi dalam kekangan yang ada di lima negeri yang tidak lagi dikuasai Barisan Nasional (BN). Pada masa yang sama, kita ingin menggalakkan setiap usahawan Melayu menyertai badan ekonomi supaya kita dapat menghadapi cabaran melalui satu badan ekonomi yang bermuafakat dan bersatu. Topik perbincangan pada muzakarah ini turu mengenal pasti kluster yang masih kurang pembabitan usahawan Melayu, melihat sebab berlaku demikian untuk kita analisis dan mencari penyelesaian. Di sini juga kita dapatkan maklumbalas mengenai sistem penyampaian kerajaan yang perlu ditangani untuk di sampaikan kepada pucuk pimpinan.Pandangan mereka yang terbabit dalam perniagaan dapat membantu Gabem serta badan ekonomi merangka pelan tindakan menjayakan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera selain mewujudkan usahawan Melayu yang mampu bersaing. Gabem bukan badan politik tetapi usahawan Melayu yang membantu secara sukarela membanteras ketirisan, mengamalkan konsep Melayu tolong Melayu. Kita turut membincangkan bagaimana mendapatkan bantuan badan ekonomi bangsa lain yang berjaya menjadikan ahli mereka cemerlang supaya dapat bekerjasama serta berkongsi pengalaman.

Adakah ini kali pertama muzakarah sebegini dianjurkan dan siapa akan menyertainya?

Kita sudah ada beberapa forum sebelum ini termasuk Kongres Jihad Ekonomi Gabem bagi mengubah corak pemikiran usahawan Melayu supaya memiliki semangat patriotik dalam bidang ekonomi yang diceburi. Begitu juga dengan pengguna Melayu supaya memberi sokongan kepada usahawan Melayu. Bagaimanapun, muzakarah ini dilihat relevan kerana landskap negara sudah berubah.Jika dulu cuma Kelantan mungkin yang bermasalah tetapi sekarang, empat lagi negeri jatuh ke tangan pembangkang. Oleh itu, kita hendak menilai setakat mana perubahan politik menjadi halangan kepada kemajuan ekonomi orang Melayu. Muzakarah kali ini akan dihadiri kira-kira 400 perserta terdiri daripada Majlis Gabem Negeri,Badan Ekonomi Melayu, dewan, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan(NGO), pakar ekonomi, ahli akademik institusi pengajian tinggi(IPT), syarikat Melayu dan orang perseorangan yang berminat terhadap perkembangan serta pembangunan ekonomi Melayu selepas Pilihan Raya Umum ke-12. Kita tidak menjemput mana-mana ahli politik kerana perjumpaan ini khusus membincangkan perkembangan, perubahan yang berlaku serta tindakan yang perlu diambil daripada kaca mata mereka yang terbabit secara langsung dalam pembangunan ekonomi Melayu. Saya akan beri ucaptama pembukaan sebelum sesi perbincangan. Tumpuan kita ialah memikirkan apa yang perlu untuk ekonomi bangsa Melayu dengan mengambil semua pandangan peserta yang hadir.

Selain mendapat maklumbalas daripada apa yang sudah digariskan, apakah perkara berbangkit yang dijangka ditimbulkan peserta?

Kita menjangkakan peserta akan membangkitkan mengenai Dasar Ekonomi baru(DEB) yang menjadi bahan kecaman serta fitnah ketika pilihan raya umum baru-baru ini hingga menyebabkan banyak pihak termasuk generasi muda hilang keyakinan terhadap dasar itu. Padahal, DEB amat relevan kerana selepas 30 tahun, kita berjaya mengubah status sosioekonomi negara, rakyat Malaysia dan Bumpiutera Melayu. Sebelum ini kita lihat negara jauh ketinggalan, rakyat Malaysia bukan rakyat berpendapatan perkapita tinggi. Orang Melayu orang yang miskin, papa dan kedana. Tetapi sekarang Malaysia jadi lebih maju. Rakyat Malaysia juga memperoleh pendapatan lumayan selain mencapai banyak kejayaan. Kita tidak mahu dasar negara yang teruji dan banyak berjasa dipandang serong serta diperkitak-katikkan oleh fitnah penceramah, penulis blog yang memandang DEB seolah menjijikkan. Ini akan merugikan negara, merugikan orang Melayu dan Bumiputera. Kita hendak kembalikan keyakinan rakyat terhadap falsafah ekonomi negara bahawa DEB mesti menjadi orientasi dan landasan dasar ekonomi perdagangan selagi negara ini dipanggil Malaysia.

Memang matlamat DEB itu baik, tetapi masalahnya ialah seperti pelaksanaanya dan sebagainya?

Saya menjangkakan mungkin banyak tuduhan mengenai DEB seperti melahirkan kronisme dan salah laku. Kita akan melihat kes ini bukan dengan hanya tuduhan secara umum. Jika ada pihak mempunyai bukti menyatakan DEB menyebabkan berlaku kes jenayah, rasuah atau salah laku, Gabem akan bertindak untuk menyiasat. Kita juga menjangkakan peserta untuk memberi perspektif baru, cadangan memperbaiki pelaksanaanya yang kemungkinan ada kelemahan.Apakah ubat untuk merawat penyakit ini mungkin datang daripada pengalaman kita. Ini penting bagi kita menyakinkan orang Melayu yang mula hilang keyakinan terhadap DEB. Jika tidak ada DEB, dasar apa lagi mereka hendak bergantung.Dengan kekuatan ekonomi bukan Melayu, orang Melayu akan hanyut kerana dengan majoriti penduduk Melayu 67 peratus, kita hanya menguasai 18 peratus ekonomi negara. Tetapi orang Melayu berlagak seolah mereka sudah sama kedudukan dengan bangsa lain yang sudah menguasai lebih 50 peratus ekonomi. Ini harus diperbetulkan dan dalam konsep ini, Melayu perlu bersatu di bawah kepentingan bersama iaitu perjuangan ekonomi bangsa.

Seperti Tan Sri katakan, muzakarah juga akan melihat kepada perkembangan ekonomi orang Melayu di negeri yang dikuasai pembangkang.Apakah Gabem akan menghadapi kesukaran atau halangan kepada usaha membantu usahawan Melayu di negeri berkenaan?

Memang akan ada kesukaran kerana dulu kita ada kuasa Menteri Besar yang dipertanggungjawabkan untuk membawa agenda Melayu. Tanpa kedudukan dan kuasa ini, macam mana kita hendak beroperasi secara maksimum kerana kita mahu orang Melayu melihat serta menyokong usaha meningkatkan ekonomi orang Melayu. Tidak dinafikan mungkin ada yang melihat ini sebagai satu masalah dan ada yang tidak, tetapi Gabem tetap akan menyuarakan mengenai perkara ini. Kerana itu kita menjangkakan sesi muzakarah kali ini akan hangat disebabkan wujud perbezaan pendapat serta pandangan positif dan negatif. Bagaimanapun, kita akan cuba beri penjelasan dan cari jalan penyelesaian demi kepentingan ekonomi orang Melayu.

Memandangkan muzakarah ini diadakan secara tertutup, adakah hasil perbincangan atau resolusi akan didedahkan kepada umum?

Resolusi muzakarah akan dirumuskan dan dipanjangkan kepada Penaung Pertama Gabem, Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razakyang juga Penaung Kedua Gabem supaya kedua-dua pemimpin ini dalam menyusun semula kerajaan dan membuat keputusan akan menjadikan saranan muzakarah sebagai rujukan yang berguna. Pada sidang media selepas majlis muzakarah, kita akan beritahu media apa yang perlu diketahui umum, mungkin tidak secara terperinci. Gabem akan bertindak atas kehendak majoriti yang dicapai hasil muzakarah ini.

Tiada ulasan:


ARKIB BLOG GABEM