2008-05-22

GABEM AKAN JELAJAH KE SELURUH NEGARA TEMUI RAKYAT JELASKAN ISU SEMASA

MELAKA, 6 MEI - Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) akan menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kedudukan sebenar Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah diberi gambaran buruk oleh parti pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata pembangkang melemparkan tomahan kononnya DEB menyebabkan berlakunya rasuah, penyelewengan dan kronisme, sehingga dipercayai ramai yang terpengaruh dengan dakyah berkenaan.

"DEB diberi gambaran yang begitu kotor dan menjijikkan, penuh dengan rasuah dan kronisme. Kebaikan 99 peratus, tidak dapat dilihat, keburukan 1 peratus itu telah menjadi satu kepercayaan yang hebat dalam pilihan raya umum lepas,"katanya kepada Bernama di sini.

Gabem kini mempunyai seramai 500,000 orang anggota di seluruh negara dengan 400 pemimpin badan ekonomi Melayu.

Abdul Rahim berkata DEB yang diperkenalkan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1971, telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara ini.

"Melalui DEB, kita bukan sahaja maju dari segi ekonomi tetapi juga maju dari segi penguasaan ilmu dengan begitu pesat, kita boleh membanteras kemiskinan,"katanya yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno.

Beliau berkata Gabem kesal dengan tindakan parti pembangkang yang menafikan kejayaan yang dihasilkan melalui DEB dalam tempoh lebih 30 tahun itu. DEB adalah baik, mungkin terdapat perlaksanaan yang melakukan penyelewengan maka orang terbabit patut dikecam dan bukannya dasar berkenaan,katanya.

Beliau berkata mereka yang membuat tomahan dan kecaman terhadap DEB tidak pula membuat laporan polis atau Badan Pencegah Rasuah(BPR) mendakwa berlakunya banyak rasuah disebabkan DEB. Katanya semua pihak perlu memberi kerjasama untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat pelaksana DEB melakukan penyelewengan supaya tindakan undang-undang diambil.

Abdul Rahim berkata dalam siri turun ke bawah menemui rakyat, Gabem juga akan menjelaskan isu-isu semasa termasuk kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan beras agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Gabem juga akan memberi cadangan kepada kerajaan dalam usaha menangani isu terbabit dengan berkesan termasuk pemberian subsidi minyak,katanya.

Beliau berkata pihaknya merancang supaya perasmian penubuhan Gabem di Sarawak dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi manakala timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Razak merasmikan Gabem Sabah.

Bagi negeri pantai timur-Kelantan, Terengganu dan Pahang-akan dirasmikan oleh menteri besar masing-masing. Gabem negeri lain telah dirasmikan.

Tiada ulasan:


ARKIB BLOG GABEM