2008-05-22

GABEM CADANG SYARIKAT GLC KEMBANGKAN SKOP PELABURAN KEPADA TANAMAN PADI

MELAKA, 6 MEI - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam perladangan kelapa sawit dan getah perlu mengembangkan skop pelaburan ke sektor tanaman padi berskala besar.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata GLC, seperti Felcra dan Felda Berhad, patut mengambil bahagian secara agresif untuk membuka tanah sawah dan memulihkan tanah sawah terbiar yang begitu luas di kebanyakan negeri.

Keuntungan besar dalam sektor perladangan kelapa sawit dan getah patut disabsidikan atau dilaburkan kepada projek tanaman padi bagi mengelakkan negara dilanda krisis kekurangan beras akibat terlalu bergantung kepada pengimportan makanan ruji itu, katanya kepada Bernama dalam pertemuan eksklusif di pejabatnya di sini, semalam.

Abdul Rahim berkata GLC perlu mengambil langkah itu walau pun tidak berminat dengan perladangan padi kerana pulangan hasil kepada pelaburan tidak lumayan sebagaimana yang diperolehi dari sektor perladangan kelapa sawir dan getah.

"Betullah, pemulihan tanah dengan menanam kelapa sawit dan getah boleh dapat banyak duit, kalau kita banyak duit tetapi tidak ada beras hendak dibeli, nak buat apa dengan duit itu kerana kita tidak boleh makan duit itu,"katanya.

Beliau berkata kepentingan strategik itu perlu diagih-agihkan kerana sudah tiba masanya negara tidak bergantung kepada bekalan beras yang diimport kerana bukan sahaja bekalan tidak terjamin malah harganya tidak dapat dikawal. Selain itu, katanya kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya rakyat Malaysia sendiri menjadi pekerja dalam sektor penanaman padi kerana tidak mahu negara ini terus bergantung kepada pekerja asing apabila banyak tanah dibuka untuk tanaman ini.

"Perkara komoditi strategik ini mesti dikendali oleh rakyat Malaysia, mungkin kerajaan boleh memberi status baru kepada mereka yang bekerja dalam sektor ini dengan memberi ganjaran yang lebih menarik,"katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga perlu memberi perhatian serius untuk memulihkan tanah sawah terbiar.

"Kita tidak tahu apa sebabnya, mungkin masalah undang-undang disebabkan hukum faraid dan tanah telah menjadi kecil kerana dimiliki ramai pemilik, tidak boleh laksanakan apa-apa projek di situ kerana hak miliknya terlalu banyak,"katanya.

Abdul Rahim berkata kerajaan juga perlu mewujudkan stok penimbal yang lebih besar untuk makanan negara termasuk beras.

"Stok penimbal ini telah lama dicakap tetapi cakap tinggal cakap saja, belum ada gerakan untuk melaksanakan idea yang baik ini, baik beras atau minyak,"katanya.

Beliau berkata stok penimbal itu penting untuk digunakan bagi menampung kekurangan bekalan dan mengimbangi kenaikan harga dalam pasaran. Mengenai keputusan kerajaan menangguhkan dan mengurangkan kos projek yang tidak penting bagi membolehkan peruntukan digunakan untuk memastikan bekalan makanan negara terjamin dan tidak berlaku peningkatan harga, Abdul Rahim berkata Gabem menyifatkan langkah itu bijak dan berkesan.

"Kita berharap projek yang ditangguh dan dibatalkan ini, peruntukannya betul-betul disalurkan bagi membantu meringankan kesusahan rakyat. Kita tidak mahu melihat wang ini pergi ke tempat lain yang tidak ada kesan dan rakyat tidak dapat melihat untuk menghargainya,"katanya.

Mengenai subsidi minyak bagi mengurangkan beban perbelanjaan golongan berpendapatan rendah, Abdul Rahim mencadangkan subsidi itu diberikan kepada golongan yang menggunakan kenderaan dengan sukatan silinder 1,500cc dan ke bawah, yang banyak digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, kerajaan perlu berhati-hati jika mahu memberi subsidi secara tunai kerana ini mungkin mendorong kepada pemberian maklumat palsu.

Tiada ulasan:


ARKIB BLOG GABEM