2008-08-13

SYOR TUBUH JAWATANKUASA ATASI MASALAH PENDUDUK

KUALA LUMPUR 29 JULAI : Kerajaan digesa menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah pembangunan dan penduduk di Kampung Baru.

Presiden Gagasan Badan Ekonomi Melayu(Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, pembangunan perlu dilaksanakan di kawasan tersebut kerana ia turut membawa imej orang-orang Melayu di dalam bandar.

"Kawasan Kampung Baru dianggarkan antara 80.93 hingga 101.17 hektar dan ia terletak bersebelahan dengan KLCC. Oleh itu, pembangunan perlu dilaksanakan di Kampung Baru yang mana ia kemungkinan boleh dikenali sebagai KLCC Fasa Kedua,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Pameran dan Konvensyen Hartanah Bumiputera 2008(KHB2008) di sini hari ini.

Katanya, cadangan pelan pembangunan Kampung Baru telah disediakan oleh Gabem dan dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri(JPM) pertengahan tahun lalu. Beliau berkata, bagaimanapun sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima maklum balas ke atas cadangan yang dikemukakan.
Beliau menambah, adalah penting pucuk pimpinan membuat keputusan demi kebaikan semua pihak terutamanya pemilik tanah di Kampung Baru.

"Kita mahu mempertahankan hak orang Melayu dalam bandar.

"Justeru, susulan daripada Gabem menghantar pelan cadangan kepada JPM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan pun ada menghantar cadangan masing-masing untuk membangunkan Kampung Baru,"katanya.

Sementara itu, Rahim memberitahu, KHB08 akan diadakan selama 2 hari, bermula pada 10 Ogos dan berakhir 11 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau berkata, seramai 1000 peserta dijangka menyertai KHB08 yang diadakan buat julung kalinya.

Tiada ulasan:


ARKIB BLOG GABEM