2008-08-13

BANK USAH BEBAN USAHAWAN : NAJIB

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta bank supaya tidak bertindak keterlaluan, termasuk menarik balik dan mengurangkan kemudahan pinjaman sehingga menjejaskan perniagaan usahawan tempatan. Timbalan Perdana Menteri berkata, bank mungkin terpaksa mengambil langkah berhemah ketika ekonomi dunia tidak menentu, tetapi jangan terlalu drastik sehingga usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera menghadapi tekanan yang amat sukar. “Bank memang memainkan peranan dan kita berharap dalam keadaan ekonomi yang tak menentu, bank tidak keterlaluan mengurangkan atau menarik balik kemudahan overdraf, pinjaman kepada pengusaha,” katanya pada sidang media selepas menutup Konvensyen Ekonomi Bumiputera anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, petang semalam.

Hadir sama Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Pengarah konvensyen, Datuk Mohamed Dahan Abdul Latiff. Konvensyen dua hari itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta. Selain itu, Najib berkata, kerajaan mahu pembabitan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lebih aktif dan bersungguh-sungguh serta lebih luas bagi melonjakkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat daripada 19 peratus kepada 30 peratus menjelang 2020. “Kita harap ada kemaraan sebab kita tak tentukan tempoh, sebaik-baiknya mencapai 30 peratus menjelang 2020. Swasta dan GLC perlu membantu usahawan dan bukan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan.

“Perkara ini mesti menjadi kesedaran dan sebab itulah saya nyatakan pentingnya mengubah minda supaya hati mereka ada kesungguhan untuk membantu usahawan Bumiputera dalam perniagaan,” katanya. “Kita lihat masalahnya bahawa kedudukan ekuiti orang Melayu terlekat pada 18 dan 19 peratus. Saya ajukan bagaimana kita boleh memperkenalkan beberapa model bisnes baru untuk bantu peningkatan dan kemaraan orang Melayu termasuk mengurangkan risiko iaitu menjalin usaha sama dengan bukan Bumiputera tapi penyertaan itu kena serius dan sebagai rakan niaga yang aktif,” katanya. Najib berkata, konsep ‘Malaysian Kitchen’ umpamanya menawarkan pinjaman bank supaya lebih ramai usahawan Bumiputera menjadi pengusaha global dengan membuka restoran makanan Malaysia di luar negara. Sementara itu, beliau berkata, salah satu tugas utama Gabem ialah menyarankan kepada kerajaan bagaimana merangka strategi baru untuk mencapai peningkatan dari segi ekuiti Bumiputera dan penjanaan kekayaan kaum itu. “Ini bukan saja dalam aspek ekuiti tapi hak milik tanah dan ukuran kriteria kekayaan yang lain termasuk harta intelek. Saya setuju konvensyen ini dibuat setiap tahun dan ada penilaian dan pengukuran pencapaian kita, itu boleh menjadi satu peringatan yang amat baik kepada kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan:


ARKIB BLOG GABEM