2008-05-22

USAHAWAN MELAYU TIDAK AMBIL PELUANG DALAM PEMBANGUNAN KORIDOR

PEKAN, 2 Mac (Bernama) -- Usahawan Melayu di negara ini tidak mengambil peluang dalam wilayah pembangunan koridor yang diwujudkan kerajaan sebaliknya pelabur asing lebih menunjukkan minat merebut peluang terbabit.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik ketika mendedahkan perkara itu berkata, pelabur asing serta usahawan kaum Cina negara ini dilihat lebih banyak menghantar cadangan pelaburan masing-masing kepada kerajaan untuk kelulusan berbanding usahawan Melayu.

"Dari maklum balas yang kita terima daripada sekretariat koridor-koridor, pada masa ini proposal (cadangan) dari usahawan kaum Cina dan juga pihak asing lebih banyak berbanding usahawan Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program mewujudkan usahawan dalam bidang peruncitan di sini, hari ini.

Beliau berkata penyertaan dalam pembangunan koridor juga lebih kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah Nasional dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan-usahawan Melayu agar lebih cergas dan berdaya saing terutama dalam merebut peluang yang dirintis kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, Gabem dengan kerjasama agensi lain termasuk Mara dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan berusaha membantu usahawan Melayu mendapat manfaat dalam pembangunan tersebut, namum mereka perlu memberikan komitmen tinggi selain mengubah mentaliti "ingin cepat kaya".

Katanya, Gabem berhasrat melihat usahawan Melayu berada di setiap kluster ekonomi di negara ini tanpa bertumpu kepada sektor tertentu sahaja.

"Kita mahu menutup jurang yang ada antara usahawan Melayu dan usahawan kaum Cina dan India tetapi ini sebenarnya bukan menjadi satu ancaman kerana kalau semua kaum cemerlang dalam ekonomi, negara akan mampu bersaing dengan kuasa besar," katanya. (Petikan Bernama-2/3/2008)

Tiada ulasan:


ARKIB BLOG GABEM