"Kerajaan mengambil langkah mengimbangi jurang pembangunan bandar dan luar bandar menerusi pembangunan keupayaan, terutama dengan mengembangkan aspek modal insan dan memastikan sistem pengagihan berasaskan ekuiti secara adil dan saksama. "Jadi pengagihan tidak hanya dari segi wang atau pendapatan... mereka (orang Melayu) juga mesti mendapat pengagihan peluang yang bermutu," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Ekonomi Bumiputera 2008 (KEB 08) anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Konvensyen dua hari bertemakan 'Melonjakkan Ekonomi Bumiputera' adalah anjuran bersama Gabem dan Pemuda Umno. Mengulas lanjut, Abdullah berkata, kerajaan mahu mengindustrikan luar bandar dengan tumpuan dalam bidang pertanian, terutama yang membabitkan perusahaan getah serta kelapa sawit. Katanya, selaras usaha mengindustrikan sektor pertanian, orang Melayu tidak seharusnya mengehadkan pembabitan mereka hanya dalam kegiatan menanam saja, sebaliknya hendaklah turut terbabit dalam pemprosesan dan pengeluaran benih serta hasil pertanian. Perdana Menteri berkata, berikutan banyaknya peluang bermutu di bandar, kebanyakan orang Melayu yang berjaya adalah di kawasan bandar walaupun majoriti kaum itu tinggal di kawasan luar bandar.
Abdullah berkata, berikutan keadaan itu maka timbul rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu kerana ia menghalang mereka mencapai matlamat penguasaan ekonomi 30 peratus yang digariskan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sehubungan itu, Abdullah berkata orang Melayu perlu membina keupayaan dan kebolehan serta mesti memiliki ilmu baru bagi memajukan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan