2008-06-03

USAHAWAN MELAYU PERLU TANAM NILAI PATRIOTISME

JOHOR BAHRU 1 JUN - Golongan usahawan bumiputera disaran menanam nilai patriotisme yang tinggi bagi membolehkan agenda memperkasakan ekonomi bangsa dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, bagi membolehkan penguasaan ekonomi Melayu ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi, para usahawan bumiputera perlu bersatu padu dan saling membantu.

"Dalam memperkasakan ekonomi bangsa, kita sebenarnya tiada pilihan lain selain meningkatkan permuafakatan dan perpaduan yang kukuh untuk mendapatkan kekuatan dalam bidang ekonomi. Berhubung konteks ini, Gabem akan berusaha memperluaskan jaringan permuafakatan yang melibatkan setiap peringkat daripada pihak kerajaan sehingga para usahawan," katanya ketika berucap merasmikan program Memperkasa Ekonomi Bangsa anjuran Gabem di sini kelmarin.

Menurut Rahim, Gabem juga berperanan memberi galakan kepada para usahawan meningkatkan nilai tambah dalam perniagaan masing-masing bagi meningkatkan jaringan kerjasama tersebut.

Katanya, Gabem kini memperluaskan kerjasama dengan pelbagai agensi latihan termasuk Biro Tata Negara, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Bank Negara Malaysia serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan(NGO).

"Tujuannya tidak lain hanyalah semata-mata memastikan setiap kelompok strategik dalam masyarakat ekonomi Melayu akan diberi peluang memperkasakan ekonomi bangsa,"katanya.

Menurutnya, paradigma usahawan bumiputera juga perlu digerakkan ke arah kepimpinan yang dinamik serta pengurusan yang cekap.

Katanya, usaha juga perlu ditingkatkan untuk mencegah dan membanteras ketirisan atau sebarang gejala negatif seperti rasuah dan pecah amanah.

2008-06-02

ABDUL RAHIM - PENGERUSI RISDA

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dilantik sebagai Pengerusi Risda yang baru untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa serta-merta.

Abdul Rahim, 58, yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah serta Ketua Penerangan Umno. Abdul Rahim yang menerima surat rasmi ditandatangani Muhammad, Khamis lalu berterima kasih dengan kepimpinan negara terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bersetuju dengan perlantikannya itu.

Beliau berkata, pertemuan dengan Perdana Menteri dan Muhammad akan diatur dalam masa terdekat untuk membincangkan dan menyelaraskan objektif kementerian dan Risda bagi mencapai matlamat membasmi kemiskinan.

"Risda adalah manifestasi yang gemilang hasil usaha kerajaan dan Umno untuk membasmi kemiskinan luar bandar,"katanya dihubungi di sini, semalam.

2008-05-22

GABEM MAHU KERAJAAN AMBIL ALIH BERNAS

MELAKA: GAGASAN BADAN EKONOMI MELAYU (GABEM) meminta kerajaan mengambil alih 100 peratus saham Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan menjadikannya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk kepentingan nasional terutama ketika negara kini berdepan krisis makanan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mendakwa saham Bernas kini dikuasai 30 peratus oleh sebuah negara luar dan badan itu tidak mahu Bernas berkongsi kuasa dengan pihak luar.

"Saham Bernas, iaitu sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia sudah dibeli secara konsisten oleh pihak tertentu sehingga mereka kini sudah menguasai 30 peratus sahamnya. Adalah amat malang bagi negara sekiranya komoditi strategik ini, sahamnya dikuasai pihak luar.

"Sebab itu, kita minta kerajaan menyediakan dana untuk membeli semula semua saham dikuasai syarikat luar bagi membolehkan Bernas kembali dikuasai sepenuhnya kerajaan dalam usaha mengurangkan permasalahan beras termasuk lesen pengagihan diberikan secara saksama kepada Bumiputera,"katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Memperkasa Ekonomi Bangsa Melalui Penghayatan Agenda Melayu anjuran Gabem di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kekurangan bekalan beras di pasaran dipercayai akibat tindakan pengilang swasta menyorok padi. Perkembangan itu menyebabkan Bernas kini terpaksa menanggung tekanan untuk memenuhi hampir 100 peratus keperluan negara.

Program Memperkasa Ekonomi Bangsa Melalui Penghayatan Agenda Melayu selama tiga hari itu yang berakhir hari ini dianjurkan Gabem dan disertai kira-kira 60 peserta. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Yunos Husin dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah.

Dalam pada itu, Abdul Rahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno turut meminta kerajaan memastikan agensi pelaksana Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan semula dalam memainkan peranan secara berkesan seperti Pernas-Edar, membabitkan pengedaran bahan binaan.

Beliau berkata, ketika ini industri bahan binaan dikawal berdasarkan faktor bekalan dan permintaan yang dikuasai pihak tertentu sehingga menyukarkan penyertaan Bumiputera.

Selain itu, katanya, Gabem juga mahu dasar baru diperkenalkan kerajaan seperti membenarkan import besi yang sepatutnya turut dimanfaat syarikat Bumiputera dan bukan hanya syarikat gergasi.

"Kedudukan pembangunan Bumiputera dalam sektor ini tidak mendapat penyertaan sepenuhnya seperti dikehendaki. Sebab itu, Gabem akan bertemu dengan pucuk pimpinan kerajaan bagi membincangkan perkara terbabit dalam masa terdekat,"katanya.

* GABEM DESAK KERAJAAN KUASAI 100 PERATUS SAHAM BERNAS

MELAKA 10 MEI - Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) mendesak kerajaan menguasai semula 100 peratus saham dalam Padiberas Nasional Berhad (Bernas) atau menjadikan ia syarikat milik kerajaan (GLC) untuk menjaga kepentingan negara dalam menghadapi krisis makanan.

Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, terdapat 30 peratus saham Bernas dimiliki oleh pihak swasta dam negara luar. Perkembangan itu katanya, dikhuatiri menguasai operasi syarikat pengeluar beras negara sehingga berlaku masalah kekurangan dan kenaikan harga beras sejak kebelakangan ini.

"Walaupun ada penyertaan kerajaan melalui agensinya dalam pemilikan saham Bernas tetapi lebih 30 peratus sahamnya yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) tetapi ada negara lain dan syarikat besar membeli saham ini yang mungkin bertujuan untuk menguasai Bernas.

"Amat malang bagi Malaysia sekiranya komoditi yang strategik seperti beras ini, autoritinya terletak pada kuasa luar disebabkan terdapat pengapungan saham Bernas di BSKL dan dikuasai kepentingannya oleh pihak luar yang bukan dari Malaysia."katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama Memperkasa Ekonomi Bangsa anjuran Gabem yang disempurnakan oleh Pengerusi Gabem Negeri, Datuk Ahmad Hamzah di sini malam tadi.

Sebelum ini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga beras import di pasaran tempatan menyebabkan ia dimanipulasi oleh pihak tertentu termasuk menaikkan harganya.

Bernas merupakan pengimport tunggal beras negara dan salah satu fungsi utama penubuhan badan tersebut adalah untuk memastikan bekalan beras negara mencukupi bagi kegunaan rakyat.

PERKASA EKONOMI DENGAN HAYATI AGENDA MELAYU

PORT DICKSON, 26 April- Usahawan Melayu disarankan menghayati agenda Melayu dalam usaha untuk memperkukuhkan dan memperkasa ekonomi bangsa ke arah pemilikan 30 peratus ekuiti seperti yang digariskan dalam dasar Ekonomi Baru (DEB). Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, pencapaian pemilikan ekuiti bangsa Melayu pada paras 18.9 peratus masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, dengan semua galakan dan insentif yang disediakan kerjaan, usahawan Melayu sepatutnya berada pada kedudukan lebih kukuh sekarang. Jelasnya, sejarah membuktikan kerajaan Melayu Melaka dahulu berjaya memartabatkan tamadun bangsa melalui kecemerlangan dalam bidang ekonomi.

"Ia membuktikan bidang ekonomi bukanlah perkara asing bagi bangsa kita kerana kerajaan Melayu Melaka pernah muncul sebagai kuasa ekonomi disegani di rantau ini sehingga menarik minat kuasa Barat untuk datang menjajah,"katanya ketika berucap merasmikan program Memperkasa Ekonomi Bangsa Melalui Penghayatan Agenda Melayu anjuran Gabem Academy of Business Excellence(Gabex) di sini malam semalam.

Beliau turut menyelar sikap sesetengah orang Melayu yang menyalahkan DEB sepenuhnya di atas kegagalan menguasai bidang perniagaan di tanah air sendiri. Katanya, memang terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan DEB seperti penyelewengan dan salah guna kuasa sehingga menyebabkan pihak yang benar-benar memerlukan bantuan dipinggirkan.


ARKIB BLOG GABEM