2008-08-13

29 PELAN RAPAT JURANG EKONOMI

KUALA LUMPUR: Konvensyen Ekonomi Bumiputera (KEB) 2008 menggariskan 29 pelan tindakan bagi merapatkan jurang sosio ekonomi Bumiputera dengan bukan Bumiputera. Pelan tindakan itu bagi merapatkan jurang pemilikan saham, bilangan pengurusan dan profesional, taraf pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah dan pemilikan lain-lain aset yang masih terkebelakang. Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik, ketika melancarkan resolusi itu semalam, berkata pelan tindakan yang digariskan dalam resolusi itu akan dibukukan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai rujukan semua pihak termasuk kerajaan dalam membantu membangunkan ekonomi Bumiputera.

Pelan tindakan yang digariskan dalam resolusi empat muka surat yang dijana daripada enam sesi forum anjuran Gabem dan Pemuda Umno itu, antara lain menggariskan gesaan terhadap sektor swasta Bumiputera untuk lebih cergas dalam meningkatkan penguasaan ekonomi termasuk mengurangkan gejala ketirisan. Resolusi yang dikeluarkan pada akhir sidang pleno hari kedua konvensyen bertemakan ‘Melonjakkan Ekonomi Bumiputera’ berakhir semalam, juga menyeru pelaburan syarikat Bumiputera dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditingkatkan termasuk di koridor negara. Selain itu, menggesa kerajaan meneruskan perbelanjaan dan bukannya mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan ekonomi dapat terus bergerak dan berkembang.

Ia juga mencadangkan ditingkatkan keusahawanan Bumiputera menerusi program latihan kemahiran dan pakej bantuan supaya setiap yang dibantu berjaya dan meningkatkan jalinan dalam perniagaan serta penguasaan rantaian nilai setiap sektor ekonomi. Koordinasi antara kementerian dan agensi juga digesa ditingkatkan dalam membantu masyarakat ekonomi Bumiputera selain lebih cepat memberi perkhidmatan. Konvensyen yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari kalangan usahawan dan pemikir ekonomi Bumiputera negara itu, turut meminta kerajaan bertukar dari negara berteraskan politik kepada berteraskan perniagaan, selain memperkasakan modal insan dengan mengambil kira isu globalisasi, meningkatkan daya saing dan kebolehan berfikiran global.
Resolusi KEB 2008 turut menggesa rancangan kelompok ekonomi di bawah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) generasi baru digerakkan dengan kerjasama kerajaan dan masyarakat ekonomi Bumiputera, selain mencadangkan diwujudkan Majlis Perdagangan Bumiputera dan mempercepatkan pembangunan rantaian Persyarikatan Bumiputera, serta mewujudkan rangkaian bekalan Bumiputera dengan GLC mempeloporinya.

Ia turut mencadangkan syarikat Melayu yang berjaya di pasaran terbuka dijadikan contoh kepada masyarakat ekonomi Bumiputera, manakala kerajaan dan bank perlu memiliki minda serta pendekatan baru untuk menolong Bumiputera.

PELAN B HADAPI EKONOMI GLOBAL

KERAJAAN DIMINTA RUMUS DASAR ALTERNATIF BERIKUTAN KENAIKAN HARGA MINYAK, MAKANAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merumus segera pelan alternatif pembangunan ekonomi negara untuk berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global kesan kenaikan berterusan harga minyak dan makanan di pasaran global. Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, berkata pelan alternatif atau Pelan B kepada dasar ekonomi semasa itu perlu bagi memastikan negara bersedia menghadapi kesan kenaikan harga minyak global yang dijangka mencecah AS$200 setong.

Katanya, persediaan itu perlu dibuat bagi memastikan jika keadaan itu berlaku kerajaan mempunyai langkah untuk dilaksanakan bagi memastikan rakyat tidak merana dan kesihatan ekonomi serta pembangunan negara masih dapat diteruskan. "Dasar pembangunan atau Pelan B ini mestilah proaktif dan futuristik," katanya dalam sidang media selepas perasmian Konvensyen Ekonomi Bumiputera 2008 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, semalam.Rahim berkata, dasar alternatif itu adalah langkah tambahan kepada pelan sedia ada bagi memastikan segala kelemahan berhubung pengurusan ekonomi negara dapat diatasi serta membendung tekanan berterusan yang boleh menjejaskan mutu hidup rakyat.

"Kita mahu supaya kerajaan segera menyediakan langkah alternatif ini kerana suasana semasa menunjukkan Malaysia sudah kehilangan daya penarik menjana kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) hingga menyebabkan ekonomi negara tidak dapat diperbesarkan," katanya. Selain itu, Gabem juga kesal tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang mencabar kedaulatan undang-undang negara, mewujudkan suasana tidak tenteram menerusi siri demonstrasi jalanan dan merosakkan imej negara. Katanya, tindakan ahli politik tertentu yang lari ke kedutaan asing kononnya untuk mendapatkan perlindungan memburukkan lagi keadaan hingga menyebabkan agensi penarafan asing menurunkan penarafan negara kerana situasi seperti itu biasanya berlaku di negara bergolak. "Tindakan golongan berkenaan yang nyata untuk memenuhi agenda politik mereka, tetapi sebenarnya memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

"Justeru, kita mahu pihak berkuasa membendung tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini bagi mempertahankan sistem negara dan menjamin usaha membawa masuk pelabur secara besar-besaran terganggu atau terjejas," katanya. Sementara itu, menyentuh mengenai konvensyen terbabit, beliau berkata, antara perkara yang disentuh ialah ketidakpadanan antara pengeluaran graduan dengan keupayaan sektor ekonomi untuk menyerap mereka dalam sektor pekerjaan. Sehubungan itu, Gabem mahu pengeluaran graduan dirancang teliti bagi memastikan ia dapat memenuhi kehendak industri dan perniagaan bagi mengelakkan pengangguran graduan. Justeru, perancang ekonomi dan mereka yang merancang sektor pendidikan perlu berada dalam satu kumpulan yang sama bagi mengatasi masalah ketidakpadanan sumber itu.

GABEM BINCANG PERKASA MELAYU

KUALA LUMPUR: Bertemakan 'Melonjak Ekonomi Bumiputera', Konvensyen Ekonomi Bumiputera (KEB08) anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini memberi peluang kepada orang ramai membincangkan pendekatan baru dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera. Pengarah Konvensyen, Dato' Mohamed Dahan Abdul Latiff, berkata konvensyen itu juga bertujuan menyuntik semangat serta meningkatkan permuafakatan, di samping membincangkan isu berkaitan ekonomi, cetusan idea dan pendapat daripada pembentang serta membentuk resolusi dan pelan tindakan bagi melonjakkan ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi. "Kami berharap dengan adanya konvensyen seperti ini, peserta berpeluang mempelajari sesuatu tentang perniagaan di samping dapat memberi idea baru yang bernas dan berkualiti," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Konvensyen, Nor Rashid Ismail, di sini, semalam.

KEB08 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sementara majlis penutupnya akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mohamed Dahan berkata, konvensyen berkenaan membabitkan enam forum yang membabitkan pembentangan kertas kerja oleh mereka yang berkaliber seperti Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Datuk Dr Awang Adek Hussin; Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Datuk Salleh Abd Majid dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar. "Sementara ahli panel terdiri daripada kalangan Menteri, Ketua Setiausaha, Ketua Eksekutif dan Naib Canselor universiti tempatan yang membincangkan isu berkaitan seperti pembangunan modal insan dan globalisasi serta pendekatan pengkorporatan Bumiputera.

"Perbincangan enam forum berkenaan diharap dapat menghasilkan perakuan untuk tindakan bukan kerajaan dalam memajukan lagi sektor dan industri swasta dengan mengadakan lebih banyak lagi program untuk membantu Bumiputera," katanya.

TERENGGANU MUNCUL NEGERI MAJU 2020

Terengganu bakal muncul antara negeri yang terindah dan maju menjelang 2020 apabila wang kira-kira RM2 bilion setahun hasil minyak yang akan dibayar Petronas akan dibelanjakan secara berhemah dengan memberi tumpuan perbelanjaan infrastruktur yang mendatangkan faedah jangka panjang kepada rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata pembangunan dan program boleh dibuat oleh kerajaan ada hasil yang lebih banyak daripada kebanyakan negeri lain.

Pada masa yang sama, apabila menjalankan projek, Kerajaan Negeri bercadang untuk memastikan projek itu ditawarkan kepada syarikat milik rakyat negeri ini.Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong.

Katanya, tanggungjawab syarikat di negeri ini ialah meningkatkan keupayaan dari segi pengurusan, pekerja mahir, kelengkapan dan mesin, kebolehan menyiapkan projek pada masa yang ditetapkan dan tidak melebihi peruntukan yang disediakan untuk projek berkenaan.

“Saya ingin melihat pusingan wang dalam ekonomi negeri ini berkisar atau berputar sebanyaknya dalam negeri ini dan bukan mengalir keluar. Apabila pusingan wang dalam ekonomi negeri dinikmati oleh penduduk dan rakyat tempatan, maka barulah kita lihat pendapatan isi rumah di Terengganu meningkat.

“Kita tidak mahu keadaan hasil dan kewangan yang tinggi tetapi pendapatan purata rakyatnya tidak sejajar tinggi,”katanya pada majlis Perasmian Pelancaran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (10 Julai).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Luar Bandar dan Usahawan Negeri, Dato’ Mohamad Awang Tera selaku Pengerusi Gabem Terengganu.

Manakala Menteri Besar sebagai penaung Gabem diikuti Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Penasihat Majlis Gabem Negeri. Manakala Yayasan Pembangunan Usahawan Negeri Terengganu pula dilantik sebagai Sekretariat Majlis Gabem Negeri.

Seramai 20 ahli jawatankuasa dilantik terdiri daripada individu melibatkan pelbagai bidang termasuk usahawan petroleum, perdagangan, peruncitan, perkhidmatan, asas tani dan makan, ahli politik, sistem maklumat dan kontraktor binaan.

Dalam pada itu, buat permulaan Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM50,000 kepada Gabem Negeri bagi menggerakkan aktiviti badan itu, selain peruntukan akan ditambah berdasarkan keperluan serta untuk menjayakan misi penubuhannya bagi menambah golongan bumiputera dalam bidang perniagaan dan memartabatkan ekonomi masyarakat Melayu di Terengganu khasnya.

GABEM CADANG LEBARKAN SAYAP KE SABAH, SARAWAK

KOTA KINABALU - Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) bercadang mengembangkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak bertujuan membela nasib orang Melayu dan bumiputera di negeri itu. Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, GABEM mempunyai peluang yang cerah untuk dikembangkan di Malaysia Timur kerana jumlah bumiputeranya yang ramai."Kita jangka keahlian GABEM yang kini berjumlah 126 orang di peringkat nasional akan bertambah, memandangkan kita akan mengembangkan GABEM ke Sabah dan Sarawak."Ini adalah usaha GABEM bagi membantu orang Melayu dan bumiputera yang masih jauh ketinggalan kerana pada masa ini masyarakat Cina kebanyakannya menguasai sektor perniagaan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan Dalam Bidang Peruncitan dan Francais di Hotel Le Meridien di sini kelmarin.
Rahim berkata, masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak juga ramai dan menjadi tanggungjawab GABEM membantu membangunkan ekonomi mereka."Kita hanya mahu melihat ekonomi negara ini diterajui masyarakat Melayu dan bumiputera, oleh itu GABEM akan berusaha yang terbaik untuk membantu rakyat dalam bidang perniagaan," katanya.Bagi mengembangkan GABEM di negeri ini katanya, beliau akan berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bagi menetapkan tarikh untuk melancarkan GABEM Sabah.Selain itu, beliau mengalu-alukan penglibatan pemikir ekonomi dan ahli akademik dari pusat pengajian tinggi untuk menyumbang buah fikiran dan pendapat bagi memajukan GABEM.
"Kombinasi mereka bersama-sama GABEM untuk bersatu hati, pemikiran dan tenaga akan membantu meningkatkan ekonomi bumiputera selain dapat menyeleras program perniagaan secara bersepadu," katanya.Jelasnya, bantuan terhadap GABEM itu selaras dengan penubuhannya iaitu untuk membantu badan-badan ekonomi dan syarikat bumiputera agar terus maju dan mengorak langkah ke depan.

ARKIB BLOG GABEM